Archives

0

Glory Spain!!

apis 26 July 2010
KEJAYAAN...Spain dalam aksi final World Cup 2010

Adeh awal-awal sem lagi dah serabut. Mana tak nya, sem ni pindah ke kolej baru setelah sekian lama menetap di kolej lama. Ambil masa jugak nak sesuaikan dengan keadaan baru ni, sebab tu la lama tak update blog ni. (alasan kukuh ni..hehe)

Hampir seminggu dah World Cup 2010 melabuhkan tirai dan dunia pun dah tahu siapa juara baru dalam bola sepak ni – Spain. Walaupun agak ketingalan,aku nak post jugak. Kali ni Netherlands gagal lagi..adeh. Buat penat je aku bersengkang mata tengok final ni sampai pukul 4 pagi. Argh tension2..hehe. Pasukan favorite aku kalah dengan jaringan yang tipis.

Apa pun Spain memang main smart lah. Diorng patut menang. Tapi ramalan aku tak jadi kenyataan,yang jadi kenyataan plak adalah ramalan seekor binatang ni. Nate gapo tuh?

Binatang yang dimaksudkan ialah seekor sotong kurita. Siap ada nama lagi, Paul namanya. Seluruh dunia heboh kata Paul ni bomoh yang ada kuasa menilik sape yang menang sebelum match berlangsung. Kejayaan Spain menjuarai Piala Dunia 2010 tempoh hari bertambah melonjakkan lagi nama si sotong kurita yang menghuni di Akuarium Sea Life kat Jerman ni. Hanya meletakkan 2 bendera yang dilekatkan pada bekas mengandungi makanan, Paul ni boleh memilih mana pasukan yang akan menang.

Bagi orang Islam, tidak seharusnya kita terjebak dengan permainan ini. Kepercayaan kita kepada benda-benda yang boleh membawa kita menjauhi Pencipta patut dielakkan sama sekali. Adalah mustahil kita mempercayai tilikan dari seekor binatang yang tidak mempunyai akal.

Dalam sebuah artikel yang pernah aku baca, benda-benda semacam ini sudah sebati dalam hidup masyarakat Arab jahiliyah dulu. Mereka seakan-akan sudah dibayangi dengan amalan yang syirik, tahyul dan khurafat ini.



PILIH...Paul memilih makanan dalam kotak Spain

Mengambil contoh untuk disebutkan ialah, jika mereka ingin memulakan perjalanan, mereka akan melihat gerakan seperti burung yang dilepaskan. Mereka beranggapan arah ke kiri dan ke kanan gerakan burung tersebut mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan nanti. Al Quran menegaskan dalam surah Al A’raaf ayat 131 yang bermaksud:
“Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”

Sebenarnya Islam menyelar amalan ini dikhuatiri mencemarkan kemurnian tauhid. Dalam Islam, sesuatu kejadian itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata. Sebagaimana Allah rakamkan dalam surah Taubah ayat 51.
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”

Setiap manusia lebih-lebih lagi umat Islam akan berhadapan dengan amalan ini tetapi jika kita bertawakkal kepada Allah dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah menghilangkan perasaan tersebut daripada jiwa kita.
“Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu), maka dia telah berbuat syirik” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Bagi aku, pergerakaan Paul ni ke arah kotak dan bendera tu hanya kebetulan. Tentu sekali ia lansung tidak mampu mengenali bendera sesebuah negara. Satu doa yang Rasulullah ajar kepada kita untuk menjauhi amalan yang sebegini adalah:
“Ya Allah, tidak ada kebaikanMu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripadaMu dan tidak ada Tuhan selainMu” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
2

Oh Bulan

apis 03 July 2010
GERHANA...Kekuasaan Allah

Engkau laksana bulan, tinggi di atas kayangan ~ pergh, tiba2 plak teringat bait lagu ni.hehe. Kalau tengok pada tajuk entry kali ni pun macam jiwang. Ermm tapi kan kalau kita tengok bulan pun terlintas dalam kotak fikiran kita, sangat cantik dan indah di pandang lebih2 lagi bila bulan purnama. So, tak mustahil la bulan ni sinonim juga dengan wanita. Kalau orang sedang bercinta tu lagi la, wajahmu ibarat bulan la, apa lah..buktinya seperti bait lagu di atas. Hehe..

Erm cakap pasal bulan ni, aku nak kongsikan satu fenomena yang best ni. Baru2 ni ada di beritahu tentang fenomena gerhana bulan. Bila aku baca je paper cerita pasal gerhana bulan akan jadi pada 26 Jun 2010, aku dengan lajunya meng'inform'an kepada abah aku tentang ni. Abah aku ni memang minat dengan benda2 aeroangkasa ni.


Hari kejadian, aku dan famili aku standby dengan teleskop dan teropong. Lepas solat maghrib, terus keluar depan rumah. Gerhana bulan ni agak lama tempohnya berbanding gerhana matahari. Hari tu selama sejam lebih jugak kot. So, boleh la jugak tengok lama2.


Alhamdulillah malam tu cuaca cerah dan boleh nampak bulan. Tapi nak lagi jelas, guna teleskop la. Bila tengok tu memang rasa dekat dan terang sangat. Memang lah dah nama pun pakai teleskop.hehe.


Dalam suasana menikmati keindahan kejadian Allah, sempat jugak buat solat sunat gerhana. Kejadian ini mengajak kita untuk tingkatkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah sebagai Pentadbir seluruh alam termasuk bumi, bulan, matahari dan lain2. Insyaallah.

PERHATI... Abahku khusyuk memerhati


Secara kita tak sedar, gerhana bulan yang berlaku ni adalah untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat, memohon ampun dan sentiasa ingat kepadaNya. Kita perlu sedari dan yakini, kejadian gerhana ni bukanlah hanya sekadar kejadian alam dan putaran biasa alam, tetapi gerhana bulan adalah tanda kekuasaan, peringatan dan amaran supaya konsisten menjauhi maksiat.

Rasulullah ada bersabda,

"Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu." (Hadis Riwayat Muslim)
Mengikut kepercayaan jahiliah, mereka anggap gerhana matahari atau bulan berlaku disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia lalu menyebabkan bulan atau matahari bersedih dan menjangkakan sesuatu yang buruk telah berlaku di bumi. So, untuk mengelakkan anggapan salah jahiliah ni, umat Islam ni disunatkan buat solat gerhana. Tujuannya untuk menolak kepercayaan khurafat seperti diatas.

Solat yang didirikan masa gerhana ni sebenarnya untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, disamping menanamkan pemikiran saintifik dalam budaya orang Islam. Tak la orang bukan Islam kata, kita ni tak cerdik dan tak kosisten dengan agama Islam. Malah, manusia akan sedar akan tanggungjawabnya dan berasa kerdil dan lemah terhadap keagungan Allah.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah Fussilat: 37)

TEROPONG... Aku dengan gaya bersahaja..hehe


Kalau nak tengok pada hari ni, ada yang menjadikan matahari dan bulan tu sebagai tuhan mereka. Tak kurang juga ada golongan yang hanya merasa hebatnya pergerakan bulan, matahari dan lain2 di angkasa tanpa berlaku perlanggaran, tapi gagal memahami bahawa adanya kuasa yang lebih hebat yang menciptakan sesuatu yang mereka kagumi itu. Jika ini terjadi jugak, ternyata akal manusia ni dipandu tanpa mengikut panduan agama. That’s why manusia tidak mampu mengenali Allah Maha Pencipta.

Mudah-mudahan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Aku berhasrat semoga dalam melihat lagi fenomena yang cukup mengagumkan ni. Subahanallah..
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal…" (Surah Al Imran: 190-191)
0

Muhasabah

apis 22 June 2010

SELAMAT...Menuju ketetapan itu


Hampir seminggu dah birthday aku berlalu. Thanx pada member2 aku yang wish kat aku sampai inbox hanset aku penuh.. hehe. Masa cepat je berlalu, usia pun dah menganjak ke angka dua puluh dua tahun.

Aku sempat juga tanya mak aku saat aku di lahirkan, masa tu lepas asar petang 14 Jun 1988, di dalam sebuah teratak usang milik atuk dan nenek belah mak aku. Dalam suasana angin sempoi2 bahasa, pokok kelapa melambai2..hehe. Berhampiran Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan. Itu dulu..keadaan dua puluh dua tahun yang lampau.


Jika nak imbaskan kembali saat muda mudi dulu hingga kini, memang sekejap je rasanya. Ketika sahabat aku ada yang sudah kehilangan kedua ibubapa tersayang ketika proses pembesaran mereka, Alhamdulillah, aku sehingga kini masih diberikan nikmat itu. Syukur pada-Mu ya Allah..

Dalam kedinginan subuh pagi itu, aku merenung..merenung apa yang aku telah lakukan sepanjang hidupku ini. Sekaligus terkenang apa yang aku telah lakukan sebelum ini dan apa yang aku harus lakukan selepas ini. Teringat kata-kata penceramah yang aku dengar semasa kuliah pagi suatu jumaat tu, katanya kita semakin hari umur semakin meningkat dan semakin hari kita semakin menghampiri saat kematian kita. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri. Ermm, betoi2..

Lantas aku terus teringatkan pula kepada seorang tokoh yang sangat aku kagumi.. kagum dengan semangatnya, Saidina Umar Al Khattab,

"Hisablah diri kalian sebelum diri kalian dihisab dan timbanglah diri kalian sebelum ditimbang. Kerana kalian lebih mudah menghisab diri kalian hari ini daripada kelak.."

Hari yang sama ketika pulang dari site praktikal, aku lepak sambil nak tunggu azan zuhur di Masjid Telipot, tiba2 imam masjid itu membuat pengumuman mengatakan lepas solat Zuhur, minta pada semua jemaah bersama-sama solat jenazah, di fahamkan kematian itu pagi semalam.

Dengan suasana kesayuan, aku bersama jemaah lain solatkan dan doakan si mati itu. Walaupun aku sebenarnya memang tak pandai sangat bahasa arab, tapi aku serba sedikit dapat memahami maksud doa yang dibaca oleh imam itu. Cukup untuk menginsafkan kita semua apatah lagi dengan jasad yang sudah tak bernyawa terbujur kaku di depan mata. Benar, kematian itu bila2 masa je boleh datang.

"…Jika telah tiba ajal mereka, mereka tidak dapat meminta ditangguhkan sekalipun hanya sesaat, dan mereka juga tidak dapat meminta didahulukan (walaupun sesaat, jika ajalnya belum tiba)."
(Al Nahl:61)

Jika sebelumnya aku terbayang saat aku dilahirkan, kini aku terbyang pula saat aku dimatikan nanti. Bagaimanakah keadaan aku ketika itu?. Masih cukupkah bekalan aku?.. Kita semua sememangnya tidak dapat menjangkakan berapa panjang usia kita, maka ingat pada mati itu penting. Dengan ingat kepada mati, menjadikan kita selalu ingin membuat kebaikan di dunia untuk bekalan di akhirat. Aku memetik sepotong ayat dalam Quran,

"Hari orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)"
(Al-Hasyr: 18)

Memetik kata-kata Hassan Al Basri sebagai berkata,

"Orang mukmin itu pengelola dirinya sendiri. Dia menghisab dirinya terhadap ketaatan kepada Allah. Hisab sebahagian orang dipermudahkan pada hari kiamat kerana mereka memuhasabah diri mereka di dunia dan hisab sebahagian orang dipersulitkan kerana mereka mengerjakan banyak hal tanpa muhasabah."

Maka, bermuhasabah lah!

p/s: Peringatan khusus pada diri ku sendiri yang sememangnya lemah
0

Turki Pemimpin Baru Dunia Islam

apis 13 June 2010
TEGAS..Recep Tayyib Erdogan

Sudah lama aku tak mencoretkan sesuatu dalam blog ni..agak bersawang jugak la..hehe..pe pun thanks kepada someone from utara tu, yang asyik duk tanya bila nak update blog..hehe..bukan ape, agak busy gak la..huhu..pe pun takpe, dalam entry kali ni aku nak bawakan satu isu yang hangat diperkatakan kini..aku beranggapan isu ni bukan baru tapi dah berlarutan sejak dari dulu lagi. Penindasan dan kekejaman regim zionis Israel.

Kita semua sempat merasai bersama detik2 cemas yang dilalui oleh aktivis misi bantuan kemanusian ke Gaza tempoh hari. Macam yang kita semua maklum, kapal bantuan Mavi Marmara telah diserang oleh komando2 Israel. Akibatnya, sembilan aktivis atas kapal flotilla ni terkorban. Memang melampau betul la Israel ni!. Kesan dari kecaman masyarakat antarabangsa ni, Israel tidak lagi menyerang kapal kedua misi ini iaitu Rachel Corrie.

Nasib baik la tak ada yang terbunuh. Kapal tu ditawan dan diiring ke pelabuhan Israel. Misi untuk hantar bantuan gagal buat kali kedua tapi aku pasti ianya tidak akan tamat begitu sahaja. Difahamkan bantuan kemanusian ke Gaza yang hendak disampaikan seperti makanan, ubatan, bahan binaan dan permainan kanak2 tersadai di pelabuhan Israel begitu sahaja.
Aku tiba2 teringat satu ayat dalam kitab suci yang berbunyi,
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka..” (Al-Baqarah : 120)
Ermm..memang betul apa yang Allah bagitahu dalam Quran tu. Memang benar!.

Disebalik peristiwa ni, aku tertarik untuk diskusikan mengenai pendekatan Turki dalam isu ini. Turki yang selama ni menjadi sahabat kamcing Amerika dan Israel, membuat kenyataan penting selepas peristiwa ni. Aku memetik kata2 tegas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan seperti berikut:
“Saya tidak mahu Hamas disebut sebagai organisasi pengganas. Saya kira kini pun mereka bukan pengganas tetapi pejuang yang mempertahankan tanah air mereka”.
Malah terus menegaskan supaya Israel memohon maaf kepada Turki sebab mengakibatkan warganegaranya terbunuh. Pemimpin karismatik itu terus membidas dengan berkata,
"Apakah kami akan tetap diam atas pembunuhan sembilan orang warga kami? Apakah kami boleh menutup mata tindakan ke atas orang awam terjadi di perairan antarabangsa?.Mulai sekarang, hal seperti ni tidak boleh terus dibiarkan."
Bukan setakat membidas malah turut mengancam mereka dengan menegaskan,

"Kelakuan Israel mesti diadili, mesti dibalas dengan tanpa ada keraguan lagi. Tidak ada satu pihak luar sekalipun yang cuba untuk menguji kesabaran Turki”.
Aku secara peribadi melihat Erdogan ni sebagai pemimpin baru dunia Islam dengan prinsip tegasnya menyatakan amaran kepada Amerika agar tidak menyokong Israel. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh pemimpin Arab dan Islam kecuali Saddam Hussein dan Ahmadinejad. Erdogan juga meminta Turki terus menghentikan latihan ketenteraan bersama dengan Israel susulan dari peristiwa tu.

Sebelum ni pun, kita ada tengok Erdogan ni keluar daripada World Economic Forum di Switzerland tahun lepas yang mana cukup mencuri tumpuan dunia. Sebelum beredar keluar daripada forum itu, Erdogan sempat mengungkapkan kepada Presiden Israel, Simon Peres sebagai pembunuh di depan batang hidung Peres sendiri.

Susulan daripada peristiwa ini, Erdogan dianggap wira sejati dan pemimpin sebenar oleh warga Turki dan dunia Islam. Popularitinya meningkat dan menyebabkan umat Islam bangkit dalam emosi yang terbakar dalam mengecam Israel termasuk di Malaysia sendiri. Pelbagai kempen, demonstrasi dan ceramah diadakan untuk membuktikan kepada Erdogan dan warga Palestin bahawa mereka tidak berkeseorangan dalam isu ini.
HANCUR ISRAEL!...Bersama adik aku di booth Bebaskan Gaza di tapak ekspo Muktamar Pas, PUTIK dekat je ngan umah aku tempoh hari

Aku sempat tengok Berita Dunia kat tv malam tu, berita itu melaporkan bendera Turki dan poster Erdogan sangat laris dijual di Palestin kerana sikap cakna pemimpin Turki ini terhadap Palestin. Begitulah pengaruh dan populariti seorang tokoh yang memperjuangkan hak2 rakyat Palestin.

Pergh kagum la dengan beliau ni, apa pun aku sebenarnya agak sukar untuk membuat konklusi mengenai ini, dalam emosi yang berapi-api bercampur rindu.. rindu.. rindu pada sebuah pendirian yang tegas daripada mulut seorang pemimpin Islam terhadap isu Palestin sejak sekian lama. Silent is golden?
0

Erti Sebalik Valentine Day

apis 14 February 2010


14 Februari setiap tahun merupakan hari yang di anggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih sayang. Hari tersebut dikenali sebagai Hari Valentine. Namun apa yang menjadi persoalannya dan menimbulkan kebimbangan dikalangan ulama’ kini adalah keghairahan sesetengah umat Islam terutama remaja yang menyambut dan meraikan kedatangan hari tersebut. Apa yang lebih membimbangkan ialah mereka yang menyambutnya tidak tahu sejarah dan asal usul sebenar disebalik Hari Valentine.

Terdapat beberapa pendapat mengenai sejarah Hari Valentine. Salah satu daripadanya yang ingin aku kongsikan, menyatakan pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian. Jadi mereka2 ni telah dipenjara serta diseksa kerana pendirian teguh untuk terus menganuti Kristian. St. Valentine salah seorang yang amat setia menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjara Cladius II. Walaupun St. Valentine dipenjara, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan pulak. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Adalah satu penghinaan bagi umat Islam sendiri yang secara terang mengagung-agungkan budaya dan perayaan agama lain. Rasulullah sendiri berusaha untuk mengelakkan agama Islam daripada perkara-perkara yang sama dengan agama yang lain. Rasullah pernah bersabda:

"Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut"
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Jelas prinsip yang cuba diterapkan Islam supaya dipandang tinggi dan dihormati sangat tegas dan tiada kompromi lagi. Apa yang turut dikhuatirikan, sambutan Hari Valentine ini turut disertakan dengan anasir-anasir yang jauh bertentangan dengan syarak dan nilai sebagai orang Islam apatah lagi kita sebagai mahasiswa terpelajar. Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya mendekatkan dengan perzinaan sedangkan Allah SWT menyeru kita untuk menutup seboleh mungkin ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)" (Al-Israa':32)

Dalam hal ini, para ulama’ telah bersepakat dan merumuskan bahawa meraikan Hari Valentine adalah haram bagi seluruh umat Islam. Dikhuatiri akan memesongkan akidah dan menjauhkan diri daripada Tuhan. Bapa Paderi Sedunia Tahun 1935 bernama Zeumer pernah mengatakan,

"tugas Kristianisasi bukanlah memasukkan Islam ke dalam Kristian tetapi cukup sekadar menjauhkan mereka dari Tuhan mereka"

Sedar atau pun kita tidsk sedari, inilah perancangan yang telah direncana oleh musuh Islam. Sesetengah umat Islam kini mula diracuni oleh rancangan jahat serangan pemikiran oleh kaum kafir. Dan ini adalah satu contoh serangan senyap melalui minda untuk menjauhkan daripada Pencipta kita. Kekuatan umat Islam adalah bertunjangkan kepada keteguhan berpegang kepada Al Quran dan Sunnah. Lalu timbullah rancangan jahat bertujuan menjauhkan umat Islam daripada memahami kalam Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah. Perkara ini telah disedari oleh bekas Perdana Menteri Britain, William Gladstone puluhan tahun dahulu yang mana menyebut:

"selagi Al-Quran dihayati oleh orang Islam, maka Eropah tidak akan berjaya selama-lamanya"

Apa yang ingin di sampaikan ialah kesedaran bahawa Hari Valentine ini adalah salah satu taktik kotor dan jahat untuk menghancurkan Islam secara senyap. Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya meletakkan dan menetapkan pada hari-hari tertentu. Jika kita lihat dari konteks dalam Islam pun jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara seIslam selama tiga hari berturut-turut pun, hukumnya sudah jatuh haram. Jadi amalan atau budaya dalam Islam sendiri jauh lebih baik dan sudah terbukti. Allah ada merakamkan dalam Al Quran, Islam mempunyai perayaannya yang tersendiri yang patut diraikan oleh umatnya seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus."
(
Al-Hajj : 67).

 
Copyright 2010 Dengan NafasMu